Assalamualaikum..
Selamat pagi dan selamat berhujung minggu bersama keluarga dan sahabat handai. Hujung-hujung minggu begini, mesti ramai yang meluangkan masa dengan berehat di rumah sambil online kan. Ada juga yang bercuti bersama keluarga, makan di luar bersama-sama dan menziarahi rakan dan keluarga. Baguslah kalau korang semua tak lupa untuk menjenguk keluarga. Mungkin bagi yang tinggal jauh dari keluarga tu tunggu cuti sekolah pada hujung minggu hadapan kan. Tak kisahlah bila kan, janji jangan lupa ziarah saudara mara kita jauh dan dekat tau supaya tali silaturrahim sesama umat manusia tak putus.
Bagi memastikan kemesraan dan kefahaman sesama saudara kita terpelihara, laksanakan empat perkara ini:
1) Selalu ingat kebaikan orang
Semua orang di sekeliling kita adalah sebahagian dari hidup kita juga. Mereka adalah insan yang mewarnai kehidupan kita susah dan senang, suka dan duka. Jadi, sudah pasti kita tak boleh hidup sendirian tanpa jiran, rakan, saudara-mara dan keluarga sendiri.
Oleh itu, bagi memastikan kehidupan kita sempurna perlulah bermula daripada orang sekeliling kita. Jangan sangka buruk dengan orang lain, sebaliknya lihatlah kebaikan yang pernah mereka sumbangkan untuk kita. Dengan itu, takdelah kita membenci mereka, sebaliknya kita akan lebih menghargai kehadiran mereka dalam hidup kita.
Rasullullah bersabda: "Siapa yang ingin dilapangkan rezekinya, dan dipanjangkan usianya, hendaklah ia memelihara hubungan silaturrahim".
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
2) Hormati perbezaan
Allah jadikan manusia tiap-tiap orang daripadanya dengan kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Kita semua berbeza dari segi pemikiran, bentuk fizikal, spiritual, emosi dan intelek. Memang kita selalu beranggapan yang semua manusia itu sama jadi kita mahu orang ikut cara hidup kita. Hakikat sebenarnya, perbezaan itulah yang akan membentuk satu persamaan dan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat. Seperti perumpamaan hidup bermasyarakat, kita harus menghormati keunikan dan perbezaan setiap individu. Perbezaan itulah sebenarnya yang saling menampung kekurangan antara kita.
“Tidak masuk Syurga mereka yang memutuskan silaturrahim.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
3) Sampaikan kebaikan
Bagi mengekalkan keharmonian silaturrahim, kita boleh menyampaikan perkara-perkara yang baik sahaja. Sebarkan kebaikan sahabat, jiran dan ahli keluarkan. Selebihnya pula, simpan keaiban mereka demi maruah mereka. Penyebaran dan penyampaian maklumat yang positif tentang sahabat dan keluarga akan menghasilkan suasana yang aman, ceria dan bahagia.
Dalam riwayat lain, Ali Karramallahu wajhahu berkata, bahawa Nabi SAW bersabda, "Siapa yang suka usianya dipanjangkan, rezekinya dilapangkan, dan dicegah dari kematian yang buruk, hendaklah bertakwa kepada Allah dan memelihara hubungan kekeluargaan".
(HR Abdullah bin Al-Imam Ahmad )
(HR Abdullah bin Al-Imam Ahmad )
4) Lihat kelebihan orang
Muslim yang sebenar adalah Muslim yang saling menampung kekurangan Muslim yang lain. Bukannya bertanding bagi menunjukkan kehebatan masing-masing. Kita semua saling memerlukan antara satu sama lain. Kalau umat Islam sendiri berpecah belah tali silaturrahimnya, musuh akan ada ruang untuk menguasai kita.
Daripada Abu Ayyub al-Anshari radhiyallahu ‘anhu, bahawasanya seorang laki-laki datang bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam,:
“Wahai Rasulullah, beritahukanlah kepadaku suatu amal yang dapat memasukkanku ke dalam Syurga dan menjauhkanku dari Neraka”. Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Engkau beribadah kepada Allah dan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu apa pun, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, dan menjalinkan silatur rahim”.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sama-samalah kita jaga hubungan tali silaturrahim. Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment