Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum.
Alhamdulillah dan syukran lillah kerana aku diberi kesihatan yang makin sihat hari ni. Jadi, kali ni aku nak berkongsi satu entri berkenaan dengan golongan ibu bapa yang derhaka. Isu ini mungkin sering berlaku dalam kalangan masyarakat tanpa kita sendiri sedari. Aku terdengar istilah ini semasa di kolej pada tahun lepas dan ada juga aku baca dari majalah.
Ibu bapa ini ialah orang yang wajib kita hormati dan taati. Perintah mentaati keduanya jelas termaktub di dalam Al-Quran dan Hadith. Mengecilkan hati, melawan atau mengherdik keduanya dianggap sebagai derhaka. Menderhaka kepada ibubapa adalah satu dosa besar dan tidak akan mencium bau syurga, meskipun banyak beribadat kepada Allah. Allah tidak menerima ibadat orang yang derhaka kepada ibubapa. Dalam satu hadith, Nabi Muhammad saw bersabda bahawa keredhaan Allah bergantung kepada keredhaan kedua ibubapa. Ini bermakna jika ibubapa suka kepada kita, Allah turut meredhai kita. Sebaliknya jika mereka marah dan berkecil hati kepada kita, Allah turut murka kepada kita. Nabi Muhammad saw pernah bersabda: “Barangsiapa semasa paginya mendapat keredhaan ibu bapa, nescaya dibukakan baginya semua pintu syurga. Sebaliknya jika semasa pagi lagi telah menyakiti hati ibubapa, nescaya akan dimasukkan ke dalam neraka.”
Sebenarnya, boleh ke ibu bapa boleh jadi derhaka? Dalam Islam, bukan anak-anak ke yang dilabel derhaka kalau tak dengar cakap ibu bapa? Istilah anak derhaka dalam Islam yang sebenarnya ialah apabila seorang anak itu tidak mendengar atau mengikut apa yang disuruh ibu bapa, selagimana tidak bercanggah dengan hukum syarak. Tapi, kali ni aku bukan nak berbicara tentang kisah atau bagaimana kategori anak derhaka, tetapi tentang ibu bapa derhaka. Pernah dengar istilah 'ibu bapa derhaka'? Bagaimana dan adakah ibu bapa boleh jadi derhaka?
Ingin aku kongsikan satu kisah sebagai iktibar buat kita semua:
*******
Seorang ayah datang kepada Umar bin Khattab r.a., Khalifah Islam kedua untuk mengadu tentang kederhakaan anak lelakinya. Khalifah Umar pun memanggil si anak dan menasihatinya. Beliau mengingatkannya bahawa anak wajib taat terhadap orang tuanya serta tidak mengabaikan hak-haknya.
Lalu anak itu menjawab: "Wahai Amirul Mukminin, bukankah seorang anak mempunyai hak terhadap orang tuanya?".
"Sudah tentu". Jawab Umar r.a.
"Apakah hak tersebut, wahai Amirul Mukminin?"
"Bahawa bapanya wajib memilih ibu yang baik baginya, memberikan nama yang baik kepadanya serta mengajarkan Al-Quran kepadanya," jawab Umar r.a.
"Wahai Amirul Mukminin, bapaku tidak melakukan itu semua. Ibuku adalah seorang Majusi (penyembah api). Dia memberikan aku nama Ju'al (yang bererti kotoran kumbang) dan dia tidak mengajarkan kepadaku satu pun ayat daripada Al-Quran".
Kemudian Umar r.a. menoleh ke arah bapa tersebut dan berkata: "Engkau datang kepadaku untuk mengadu ketidaktaatan anakmu, padahal engkau sendiri terlebih dahulu gagal melaksanakan tugasmu kepadanya. Engkau telah melakukan kesalahan kepadanya sebelum dia melakukan kesalahan kepadamu".
********
Seringkali kita membicarakan perihal derhaka seorang anak kepada ibu bapa, tapi jarang sekali atau mungkin tidak pernah kita persoalkan hal derhakanya ibu bapa kepada anaknya. Jika diteliti semula, sudah berapa banyak tanggunggjawab ayah terhadap anak yanng telah diabaikan. Itulah golongan ibu bapa yanng menderhakai anak.
Oleh itu, bagi mengatasi masalah derhaka ibu bapa ini, ibu bapa perlulah memahami dan menjalankan tanggungjawab atau tugas keibubapaan dengan sebaiknya. Berikut ialah peranan sebenar ibu bapa:
1) Ibu bapa yang Mukmin dan profesional:
- Lemah lembut dan tidak kasar
- Sabar dan penyayang
- Menjauhi sifat marah
- Bersikap sederhana dan seimbang
- Mempunyai kemahiran berkomunikasi
- Tahu mengenal pasti masalah dan menyelesaikannya
Jika ibu bapa tidak mengambil langkah ini, maka mereka hanya akan berjaya dalam karier tetapi gagal dalam memimpin keluarga.
2) Bapa berperanan sebagai pemimpin rumah tangga dan ibu sebagai pengurus rumah tangga.
- Keperluan zahir dan batin mesti diusahakan oleh si bapa kerana ini tanggungjawab paling asasi dan faktor paling kritikal dalam menentukan kejayaan atau kegagalan rumah tangga.
- Keperluan anak-anak perlu disalurkan melalui saluran daripada si ibu dan dibantu si ayah. Empat keperluan itu ialah keperluan fizikal, keperluan emosi, keperluan mental dan keperluan rohani.
3) Penuhi keperluan anak.
(i) Keperluan fizikal
- Ini melibatkan soal makan minum, pakaian, tempat tinggal, kemudahan kesihatan, kemudahan pengangkutan dan lain-lain yang bersifat material. Namun, keperluan fizikal ini sekurang-kurangnya perlu dipenuhi pada tahap yang paling minimum atau sekadar mengikut keperluan.
(ii) Keperluan akal
- Ibu bapa perlu berusaha memberi ilmu kepada anak-anak sama ada dalam bentuk ilmu fardhu kifayah (akademik) atau ilmu fardhu ain. Langkah paling asas ialah dengan mengajar anak mengenal Tuhan, Rasul dan elemen lain dalam rukun iman diikuti dengan pemahaman akan rukun islam dan ilmu-ilmu yang lain.
(iii) Keperluan emosi
- Bapa berperanan sebagai pendengar yang baik dan ibu sebagai penasihat sejati. Dengan ini, anak-anak akan berasa dekat dengan ibu bapa mereka. Mereka akan jadikan ibu bapa sebagai kaunselor, fasilitator, motivator atau guru kepada diri mereka sendiri. Dengan itu, tidak akan wujud jurang pemisah yang jauh antara anak-anak dengan ibu bapa.
(iv) Keperluan rohani
- Dalam soal ini, ibu bapa pperlu memantapkan soal keyakinan dan sistem nilai dalam diri anak-anak. Ajarlah ilmu berkaitan keimanan supaya mereka dalam mempraktikkan dalam kehidupan. Segala teladan yang baik juga akan dicontohi anak-anak.
Konklusinya, keperluan rohani adalah paling utama yang bersandarkan kepada iman dan takwa.Jadilah ibu bapa yang versatil dan dapat mengadaptasikan diri mereka ke dalam dunia anak-anak. Oleh itu, tidak akan wujud lagi istilah ibu bapa derhaka atau anak derhaka!
1 comment:
tayar pancit: salam ukhuwah..
Post a Comment