Sutrah sebagai penghalang atau pembatas untuk orang yang solat |
Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud :
" Sekiranya seorang yang melalui di hadapan orang yang bersolat itu mngetahui apa jenis dosanya (lalu di hadapan orang solat) , nescaya untuk berhenti selama 40 tahun adalah lebih baik baginya daripada meneruskan lalu di hadapan orang solat ini." Berkata perawi: "Aku tidak pasti sama ada Nabi menyebut 40 hari atau bulan atau tahun."
- Riwayat al-Bukhari.
Maksud hadis Nabi di atas, jelas menunjukkan bahawa kita seharusnya menghormati seorang Muslim yang sedang menunaikan solatnya. Janganlah pula kita lalu atau berjalan di hadapan orang yang sedang solat. Jika orang itu ingin solat itu maka letakkan sutrah di hadapan. Apakah yang dimaksudkan dengan sutrah ini?
Sutrah bermaksud sesuatu objek yang dijadikan sebagai penghadang atau sempadan kawasan solat. Sutrah boleh menggunakan apa-apa objek di depan arah kibkat seperti batu, tongkat, atau tiang dan boleh juga dengan membuat garisan. Ia juga sebagai pembatas atau pemusat.
Hikmahnya adalah bertujuan untuk memusatkan pemikiran orang yang sedang solat, tanpa diganggu dengan lalu-lalang orang lain. Selain itu ia bertujuan memberi tanda bahawa orang itu sedang solat.
Jarak antara kaki dan sutrah adalah kira-kira tiga hasta (siku sampai hujung jari tengah) termasuk runag untuk sujud. Sutrah ini disyariatkan baik bagi solat secara sendiri, termasuk juga solat sendirian di rumah. Juga bagi solat sunat seperti solat Rawatib, solat Dhuha, solat tahiyatuk masjid dan lain-lain.
Dalam solat berjemaah pula, sutrah adalah di hadapan imam. Bagi makmum, sutrah makmum mengikuti sutrah imam. Jadi, dibolehkan melintasi makmum jika ada keperluan contohnya seperti ingin keluar solat kerana batal wuduk).
Antara dalil Nabi tentang sutrah :
Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Apabila seseorang kamu ingin bersolat, hendaklah dia meletakkan di hadapannya sesuatu. Sekiranya tiada,letaklah tongkat. Sekiranya tiada, buatlah satu garisan kemudian tiada lagi mudarat sesiapa yang lalu di hadapannya."
- Riwayat al-Tirmizi, Abu Daud,Ahmad dan Ibn Hibban.
Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Apabila seseorang kamu telah meletakkan sesuatu di hadapannya seperti pelana perjalanan, serta tidak perlu lagi mempedulikan sesiapa yang berjalan di belakang halangan tadi".
- Riwayat Muslim dan al-Tirmizi
Secara purata, para ulama bersepakat bahawa meletakkan penghalang di hadapan ketika solat adalah sunat, tidak sampai ke tahap wajib. Namun jika dilihat kepada tujuan meletakkan sutrah ini, ternyata ia merupakan satu bentuk perkara sunat yang dituntut.
No comments:
Post a Comment