Pernah dengar dua perkataan ini? "Ithar" dan "Ananiyyah"? Kedua-duanya membawa maksud yang berbeza. Kalau dalam Bahasa Arab, "Ithar" ditulis begini "الإيثار ". Manakala "Ananiyyah" ditulis "الأنانية".
"Ithar" adalah lambang ukhuwah sejati manakala "Ananiyyah" pula ialah lambang bagi orang yang tak kenang budi. Nak tahu contoh bagi kedua-dua sifat ini?
- Antara contoh "Ithar" ialah bila mana ada jiwa yang mengutamakan saudara Islam yang lain dengan mengharapkan redha Allah dan tiada agenda tersembunyi di sebalik tindakan itu. Keindahan Islam sendiri terserlah apabila model ideal masyarakat, iaitu kaum Muhajirin dan Ansar bersatu rasa tanpa mengira warna kulit, bangsa, kabilah dan sebagainya. Merekalah lambang masyarakat yang wajar kita contohi iaitu masyarakat satu aqidah yang diikat dengan slogan "Tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah".
Firman Allah Ta'ala dalam surah Al-Hasyr (59:9) :
"Mereka juga mengutamakan orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri sekalipun mereka berada dalam serba kekurangan dan sangat-sangat berhajat".
- Contoh sifat "Ananiyyah" pula berdasarkan sifat golongan kafir. Mereka dikritik hebat kerana sikap mereka yang amat mementingkan diri sendiri. Matlamat di sisi mereka boleh menghalalkan cara asalkan apa yang digemari nafsu dapat dipenuhi. Inilah punca fasad atau kerosakan berlaku di muka bumi, apabila perubaha dilakukan demi memenuhi selera sendiri.
Hakikat ini telah dijelaskan oleh Allah dalam firmannya dalam Surah Al-Hasyr (59:14) yang bermaksud:
"Mereka tidak akan memerangi kamu dalam keadaan bersatu padu, kecuali dalam kampung-kampung yang terbenteng atau di balik tembok. Permusuhan antara sesama mereka adalah sangat hebat. Kamu kira mereka itu bersatu, sedang hati mereka berpecah belah. Yanh demikian itu kerana sesungguhnya mereka ialah kaum yang tidak mengerti".
Semoga kita tergolong dalam golongan yang mencintai diri sendiri sehingga membawa kesedaran kepada kita untuk mengutamakan kepentingan orang lain juga. Namun, perlu diingat bahawa tiada istilah "Ithar" dalam ibadah. Jika berdepan dengan sebarang situasi, solat misalnya perlulah utamakan diri sendiri dahulu yakni tunaikan solat sebelum tumpukan perhatian pada yang lain. Wallahu'alam.
P/s: Mana satu jadi pilihan? Ithar atau Ananiyyah? Tepuk dada selidiki iman!
No comments:
Post a Comment