16 January 2011

AkU, stuDent caRd & AL-QURAN...


Pada suatu pagi, aku jadi tidak keruan apabila student card hilang. Setiap penjuru bilik telah aku tinjau, tapi tidak berhasil. Hati jadi gelabah dan fikiran jadi kusut. Di Australia, student card pelajar antarabangsa berfungsi seperti kad pengenalan. Banyak urusan yang memerlukan student card dan denda yang dikenakan jika terhilangkannya agak tinggi. Sama harga dengan lunch di Knoodle Junction untuk 4 hari berturut-turut. Dalam kegelabahan itu, aku terpandang pada tafsir Al-Quran berwarna hijau muda pemberian saudaraku. Tiba-tiba hatiku tergerak untuk membacanya. Sebaik saja tafsir Al-Quran itu aku capai, mataku terpaku sejenak pada benda yang sangat familiar.

                                                     Student card!

Pintu hatiku bagaikan diketuk-ketuk. MasyaAllah! Dia sengaja mahu mengujiku agar aku sentiasa ingat pada-Nya. Alangkah malunya aku tika itu. Kegelabahan dan kesibukan bersiap-siap untuk ke kelas menyebabkan aku lupa untuk memulakan hari dengan membaca kalam-Nya. Dalam kekusutan fikiran, aku terlupa bergantung harap pada-Nya. Aku meletakkan usahaku sebagai pergantungan utama. Perkara dunia yang kecil pun bisa membuatkanku tak tentu hala. Oh! Betapa kuatnya ikatan hatiku pada dunia.

Lalu, aku mengambil keputusan untuk duduk sejenak, membaca dan mentadabburkan sedikit daripada ayat-ayatNya. Lambat ke kelas pun tidak mengapa. Namun, Allah Maha Pengasih. Dengan izin-Nya, perjalananku ke kelas sangat lancar. Setiap kali tiba di simpang, lampu isyarat bertukar hijau dan aku rasakan para pemandu di Adelaide pada pagi itu mempunyai belas kasihan yang lebih daripada biasa. Apabila sampai di kelas, rupa-rupanya kuliah masih belum bermula.

Oh! Indahnya peristiwa pagi itu. 

***********************************************************************************************************

P/S:

- Assalamualaikum. Ini ialah kisah yang boleh dijadikan iktibar dan renungan buat kita bersama. Kisah ini tercoret dalam buku nota yang telah aku himpunkan segala rencah ilmu yang boleh aku jadikan panduan dan ingatan buat diriku. 

- Pengajaran:

Setiap ujian yang Allah beri ada hikmahnya. Jika kita bersabar, InsyaAllah akan ada ganjarannya dan lebih dekat diri kita pada-Nya. Tapi manusia makhluk yang sangat pelupa. Apabila datang ujian, kerapkali merintih tak sudah-sudah mengenang nasib diri yang kononnya paling malang antara semua makhluk di muka bumi ini. Lebih dahsyat, ada yang putus harapan terhadap rahmat Allah, sekali gus berhenti berdoa dan beribadat. Alasannya, Allah tak membantunya semasa diuji.Nauzubillahi minzalik. Bukankah di dalam kitab AQ ada dinyatakan:

"Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar". - Al-Baqarah:153

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...