Assalamualaikum
Sajak: Syarat Buat Bakal Menantuku
Bakal Menantuku,
Tiba saatnya nanti,
Kuserahkan puteriku sebagai amanah,
Kerana kuhormati tuntutan fitrah,
Hiasilah hidupnya dengan hasanah,
Pandulah cintanya menuju jannah.
Dia puteri kesayanganku,
Melepaskannya tak semudah itu,
Dengarkan terus bicaraku,
Ada syarat sebelum kumerestu.
Bakal Menantuku,
Cinta yang kau tawarkan penuh bahagia,
Tiada hati lain yang terluka,
Tiada cinta lain rasa dikhianati,
Tiada anak isteri terasa sepi.
Bakal Menantuku,
Kuingin menjadi ayah sewibawa Rasulullah,
Tak rela semua puterinya dimadukan,
Baginda tahu risiko kepayahan,
Tak mahu menantunya kelelahan,
Kerana ia bukan keistimewaan,
Tapi tanggung jawab yang membeban.
Bakal Menantuku,
Berjanjilah padaku dengan syarat ta’liq,
BEBASKAN PUTERIKU,
Jika nanti kau ingin duakannya tanpa rela,
Izinkan cintanya berlabuh,
Buat lelaki yang setianya teguh.
Bakal Menantuku,
Semua puteri Rasulullah tidak bermadu,
Begitu jugalah fitrah puteriku,
Allah memberikan pilihan,
Kerana Dia hormat fitrah hati perasaan,
Jika kau enggan, gugurlah penerimaan.
Bakal Menantuku,
Kuingin dia menjadi bidadarimu di sana,
Jangan sukarkan ujian hidupnya,
Dengan cinta lain yang kau undang bersama,
Kerana fitrah tumpuan cinta, tiada dua,
Bimbang rosak agamanya kerana kecewa.
Bakal Menantuku,
Kukenali puteriku berakhlak mulia,
Kukenali puteriku tekun beragama,
Perteguhkanlah dia dengan ketinggiannya,
Hidup beragama selama-lamanya,
Jangan cintanya kau persia,
Sudikah syaratku kau terima?
Terima-kasih buat ayahku, yang memuliakan isterinya dengan tidak menduakannya sebagaimana Rasulullah
memuliakan Khadijah. Hinggakan ‘tidak dimadukan’ menjadi kelebihan dan keistimewaan Khadijah yang
diperbincangkan oleh para ulama hadis dan tafsir.
Terima-kasih jua buat semua ayah di dunia ini yang bersikap lembut terhadap ibu kami, menghormati hati dan
perasaan ibu kami, berbincang dengannya dalam membuat sesuatu keputusan dan mewujudkan susana yang
jauh dari keributan untuk kami membesar dengan aman.
Karya : Fatimah Syarha
SUMBER DI SINI
1 comment:
sgt menarik tuk dikongsi...kpd mereka2 yg belum kawen lg sila baca pesanan dia atas tu yer
Post a Comment