11 August 2011

Bazar Ramadhan..satu kemestian atau sekadar untuk kesenangan?

Assalamualaikum..

Selesai sudah aku menyiapkan juadah berbuka di dapur tadi. Sekadar juadah ringan ditambah pencuci mulut buat pembuka selera. Sambil-sambil membantu mama, dapat juga pahala. Baru hari ini aku mampu menyediakan menu berbuka yang agak special mungkin,bagi kami sekeluarga. Spagetti bolognes+agar-agar laici merah. Ringkas, mudah dan menyelerakan.

Bila masuk bulan Ramadhan, boleh dikira berapa kali saja aku ke bazar Ramadhan andai kata aku berbuka puasa di rumah bersama keluarga. Tahun lepas, dalam dua tiga kali saja dan itupun sekadar membeli satu atau dua pencuci mulut saja. Tapi, jika berpuasa sewaktu masih sesi kuliah di kolej, bazar Ramadhanlah tempat yang mesti dituju. Iya..kekangan waktu membataskan kami sebagai pelajar untuk masak di rumah sewa. Sekali sekala, mesti masak juga bersama-sama rakan serumah. Tetapi, tahun ini dan pabila sudah masuk 11 Ramadhan pun, aku masih belum menjejakkan kaki ke bazar Ramadhan yang bukannya jauh pun dari rumah.

Berbalik pada kisah ke bazar Ramadhan, semestinya ini pilihan yang tepat bagi sesiapa yang sibuk di tempat kerja dan tak ada masa untuk memasak di rumah. Selain itu, golongan pelajar, bujang dan menjaga bajet turut sama menjadikan tempat ini pilihan di hati mereka. Persoalannya, sejauh mana dan seramai mana yang mampu berbelanja di bulan Ramadhan ini, tambahan pula di bazar yang penuh dengan pelbagai juadah, mengikut sekadar yang perlu sahaja??

Aku hanya sekadar nak berkongsi pendapat mengenai berbelanja di bazar Ramadhan ni. Memang bazar menjadi tempat yang memudahkan kita menyediakan juadah berbuka puasa dengan masa yang cukup singkat. Bila bercakap mengenai bazar Ramadhan, teringin juga aku nak pergi tambahan pula dah lama tak ke sana semenjak tinggal di rumah sendiri ni. Tapi, bila diajak pasti baba aku berikan jawapan sebegini:


" Tak payahlah. Nak berjalan punyalah panjang semata-mata nak beli makanan yang kita nak tu. Padahal, beli tu tak sampai dua tiga minit. Membazir masa lah tu semua."


" Nak buat pa pi sana? Beli ayaq? Nanti kita buat macam-macam jenis ayaq. Lagipun taktau ayaq tu bertapih ke dak."

" Kat sana tak berapa syok sangat persekitaran dia. Dekat dengan tepi jalan. Berhabuk. Kalau takda pilihan lain, takpalah nak pi sana. Tapi, umah kita banyak lagi pilihan yang ada."


" Orang-orang yang menjual tu macam-macam jenis. Kalau kena yang jenis kaki tak semayang, tak berkat makanan yang kita beli kat depa tu. Semua tu kena pikiaq juga."

Hurm, tengok..ada jawapan yang memang ada logiknya. Ayah aku ni jenis yang jaga bab makan minum ni. Katanya, semua tu akan jadi darah daging kita. Nak beli makanan di luar pun, kena pandai pilih. Kalau orang yang jual tu bersih, jaga time solat (org.tgah azan, dia pi solat or take turn solat dgn. kwn sorg lagi) dan makanan tu terjamin kualitinya, tak kisahlah kalo nak beli pun. Pendek kata, semuanya kita kena ambil kira dari segi keberkatan untuk makan. Jangan ingat makan pun tak ada hal ehwal barakah ya. Daripada makananlah akan terbentuk sikap, akhlak, peribadi dan nilai diri kita ni. Kepada penjual yang berniaga pula, teruskan sunnah Nabi Muhammad kita iaitu berniaga, tetapi pastikan solat dijaga, aurat terpelihara dan kebersihan diawasi juga.

 Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Ada seorang lelaki yang biasanya banyak makan. Setelah dia memeluk Islam, makannya sedikit. Ada orang menceritakan hal ini kepada Nabi s.a.w. Lalu baginda bersabda:
"Orang beriman makan untuk satu perut. Orang yang kafir makan untuk tujuh perut."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


Kesimpulannya, sebelum ke bazar Ramadhan, setting niat masing-masing dan jangan sampai membazir.

p/s: Selamat berbuka puasa:)




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...