16 July 2011

Nisfu Syaaban bakal datang. Bagaimana dengan persiapan rohani kita?

Assalamualaikum..dalam melaksanakan tuntutan ibadah sunat sepanjang bulan Syaaban ini, lebih elok kiranya kita sama-sama memahami dan mengetahui sejarah bulan ini sendiri dan peristiwa yang terkandung di dalamnya.

Apakah sejarah bulan Syaaban ini??

- Bulan Syaaban adalah bulan kelapan menurut kiraan takwim Hijriyyah yang padanya mempunyai 28 hari. Syaaban bermaksud bercerai-berai. Dinamakan Syaaban kerana di dalam bulan ini masyarakat Arab pada ketika itu bertebaran ke merata-rata tempat untuk mencari air disebabkan kemarau yang berpanjangan.

- Bulan Syaaban merupakan di antara bulan yang mulia dan mempunyai beberapa kelebihan dan keistimewaan tertentu padanya. Padanya digalakkan untuk memperbanyakkan ibadat sepertimana di bulan Ramadhan, Rejab, Muharam dan lain-lain juga. Di samping itu juga bulan Syaaban ini adalah bulan untuk persediaan bagi menyambut ketibaan bulan Ramadhan.

-15 Syaaban ialah tarikh yang amat kita nantikan. Nisfu Syaaban (Nisf bermaksud separuh) adalah peristiwa hari ke-15 dalam bulan Syaaban tahun Hijrah. Umat Islam mempercayai yang pada malam Nisfu Syaaban, amalan akan dibawa naik oleh malaikat untuk ditukar dengan lembaran amalan yang baru setelah setahun berlalu.
Nabi Muhammad s.a.w. menggalakkan umatnya untuk bangun malam dan berjaga serta beriktikaf sepanjang malam kerana tidak mahu amalan diangkat dalam keadaan tidur atau lalai.

- Masyarakat Arab ada menggambarkan kemuliaan bulan Syaaban ini dengan beberapa huruf dan ertinya yang tersendiri antaranya:

1. Kemuliaan darjat Rasulullah S.A.W. di atas kurniaan bulan Syaaban kepadanya sehingga dinamakan bulan ini adalah bulan Nabi S.A.W.
2. Keperkasaan dan ketinggian.
3. Kebaikan dan kebajikan yang dilakukan pada bulan ini akan mendapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah Taala.
4. Kasih sayang dan kemesraan.
5. Cahaya keimanan dan cahaya ibadat yang dikurniakan oleh Allah Taala kepada hambaNya yang bertakwa.

Apakah peristiwa yang berlaku dalam bulan Syaaban??

- Bulan Syaaban merupakan di antara bulan yang mulia dan mempunyai beberapa kelebihan dan keistimewaan tertentu padanya. Padanya digalakkan untuk memperbanyakkan ibadat sepertimana di bulan Ramadhan, Rejab, Muharam dan lain-lain juga. Di samping itu juga bulan Syaaban ini adalah bulan untuk persediaan bagi menyambut ketibaan bulan Ramadhan.

- Bulan Sya`ban, keagungan malamnya dengan malam nisfu Sya`ban, sepertimana keagungan Rejab dengan malam Israk Mikrajnya, dan keagungan Ramadhan dengan malam Lailatul Qadarnya. Maka pada malam Nisfu Sya`ban telah datang Jibril kepada Rasul s.a.w lalu katanya: Angkat kepalamu kelangit, itulah malam yang dibukakan Allah padanya tiga ratus pintu rahmat dan diampunkan Allah sekalian orang yang tiada menyekutukan (syirik) dengan-Nya sesuatu, kecuali tukang nujum, kekal di dalam zina, kekal minum arak, durhaka terhadap ibubapa.(Al-hadis)


Amalan sepanjang bulan Syaaban

1) Memperbanyakkan puasa sunat.

Saidatina Aisyah berkata:Aku tidak pernah melihat Rasulullah S.A.W. menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda memperbanyakkan berpuasa sepertimana pada bulan Syaaban.(Riwayat Bukhari dan Muslim).

2) Melazimi Berzikir dan Berdoa.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Allah mencurahkan kebajikan pada empat malam iaitu malam Raya Haji, malam Raya Puasa, malam Nisfu Syaaban dan malam Arafah. (Riwayat Baihaqi).

3) Sentiasa Bertaubat dan Beristigfar

Firman Allah Taala bermaksud:Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya.(Surah an-Nur: ayat 31).


Amalan di malam nisfu Syaaban

- Tersebut di dalam kitab: Bahawa Jibril bersungguh-sungguh pada malam Nisfu Sya`ban menunaikan segala hajat. Maka datanglah Jibril kepada Rasullullah s.a.w kali keduanya, katanya:

"Ya Muhammad, gembirakanlah kamu bahawa Allah ta`ala telah mengampunkan segala umatmu orang yang tiada menyekutukan-Nya sesuatu. Angkatkan kepalamu" , lalu Rasullullah s.a.w pun mengankatkan kepalanya, tiba-tiba terbuka segala pintu syurga. Dalam riwayat yang lain pula menyatakan terbuka segala pintu langit. Pada pintu langit pertama malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang rukuk pada malan ini. Pada pintu langit yang kedua, malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang sujud pada malam ini. Pada langit yang ketiga, malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang minta doa pada malam ini. Pada pintu langit keempat, malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang berzikir pada malam ini. Pada pintu langit kelima, malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang menangis takutkan Allah subhanahuwa ta`ala pada malam ini. Pada pintu langit keenam, malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang mengerjakan amal kebajikan pada malam ini. Dan pada pintu langit yang ketujuh, malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang meminta, maka dikurniakan permintaannya itu, dan pada pintu langit yang kelapan malaikat menyeru: Adakah orang yang meminta ampun maka diampunkan baginya. Bertanya aku kepada Jibril, sampai bilakah terbukanya semua pintu ini (diterima doa), Jibril menjawab: Sehingga naik fajar subuh. Dan katanya lagi: Pada malam ini dimerdekakan hamba-Nya yang mukmin lelaki perempuan dari api neraka sebanyak bulu kambing bani kalab (bani kalab diantara orang-orang arab yang paling banyak memelihara kambing). Dalam satu riwayat yang lain pula bahawa Allah memerdekakan hamba-Nya daripada neraka sebanyak bintang-bintang dilangit dan sebanyak hari dunia dan malamnya. Pada malam inilah dihantarkan Allah akan jibril ke Syurga untuk menghiasi syurga.

-  Barangsiapa membaca,
((Tiada tuhan melainkan Allah, tiada kami sembah melainkan Dia, dengan ikhlas lagi teguh atas dasar agama (tauhid) walaupun dibenci oleh orang-orang kafir))
ditulis Allah baginya ibadat seribu tahun, dan dihapuskan daripadanya dosa seribu tahun, dan keluarnya dari kubur, mukanya seperti bulan purnama dan ditulis pada Allah taa`la orang benar siddiq (orang yang benar).

- Sabda Nabi s.a.w: Ya A`isyah! Adakah engkau izinkan aku sembahyang pada malam ini? Jawab A`isyah: Ya, aku izinkan lalu nabi pun bersembahyanglah sepanjang malam nisfu Sya`ban itu, beliau sujud terlalu lama masanya, sehingga aku sangka beliau telah diambil ruhnya (mati), lalu aku tutupkannya dengan kain, aku letakkan tanganku di atas dua tapak kakinya. Maka bergerak ia, gembiralah aku kerana beliau masih bernafas lagi, dan aku dengar beliau membaca di dalam sujudnya:
((Aku berlindung dengan kemaafan Engkau daripada siksa Engkau, dan aku berlindung dengan keredhaan Engkau daripada kehinaan Engkau, dan aku berlindung dengan Engkau daripada kejahatan yang datang daripada Engkau, aku tiada terhingga memuji Engkau sepertimana Engkau memuji diri Engkau). Nabi menyuruh A`isyah mengamalkan doa ini dalan sujud.))  (Al-hadis)

- Sesiapa sembahyang pada malam nisfu Sya`ban daripada umat Muhammad s.a.w terlebih afdal daripada ibadatnya 400 tahun. Demikian Allah memberi tahu kepada nabi Isa a.s lalu Isa a.s pun berdoa kepada tuhan: "Mudah-mudahan aku daripada umat Muhammad s.a.w".

- Apabila telah selesai sembahyang Maghrib, hendaklah bi baca surah "Yaa Sinn" dengan niatkan mohon panjangkan umur dalam mentaati Allah, kemudian dibaca doa-doanya. Kemudian dibacakan surah "Yaa Sinn" pula kali keduanya dengan diniatkan diluaskan Allah rezekinya yang halal dan diberkati-Nya, kemudian lalu dibacakan doa-doanya. Kemudian dibacakan surah "Yaa Sinn" kali ketiganya pula serta diniatkan minta ditetapkan iman dan mati dalam iman, kemudian dibacakan doa-doanya.

Namun, perlu diingat bahawa tiadalah salahnya andai dibaca surah Yaasin sekali sahaja. Ustazah Sharifah Noorhayati pernah berkata dalam sebuah forum perdana hal ehwal islam baru-baru ini, bahawasanya amalan membaca Yaasin 3 kali itu dilaksanakan oleh ulama' terdahulu yang memang alim dan tidak menjadi masalah bagi mereka untuk membaca AQ banyak kali. Yang perlu diingat, jangan jadikan amalan sunat ini sebagai beban hinggakan meninggalkan ibadah yang wajib pula. Boleh jadi juga pada waktu dahulu mereka ingin memenuhi ruang waktu yang kosong antara Maghrid dan Isyak dengan membaca Yaasin sebanyak 3 kali. Kadang-kadang kita terlalu mengejar amalan sunat hinggakan terabai amalan yang wajib.


Cara menghidupkan malam nisfu Syaaban

- Para tabiin ada menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan dua cara:

Pertama: Sebahagian mereka hadir beramai-ramai ke masjid dan berjaga di waktu malam untuk bersembahyang sunat dengan memakai harum-haruman, bercelak mata dan berpakaian yang terbaik.

Kedua: Sebahagiannya lagi melakukannya dengan cara bersendirian. Mereka menghidupkan malam tersebut dengan beribadat seperti sembahyang sunat dan berdoa dengan cara bersendirian.

- Adapun cara menghidupkan malam Nisfu Syaaban sebagaimana yang dilakukan sekarang ini tidaklah pernah berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W. akan tetapi ia berlaku pada zaman tabiin dari penduduk Syam. Di kebanyakkan negara Arab dan Nusantara kebiasaanya dibacakan Yasin sebanyak tiga kali pada malam Nisfu Syaaban dengan setiap satu bacaan dengan niat tersendiri sepertimana yang pernah diajarkan oleh para tok guru terdahulu. Perkara ini hampir berlaku ijmak padanya memandangkan dilakukan oleh para ulama zaman berzaman sejak dari dahulu lagi hinggalah kini.
Amalan seperti ini tidaklah dinisbahkan kepada Rasulullah S.A.W. sendiri akan tetapi ia boleh dilakukan selagi mana ibadat tersebut tidak bertentangan dengan syarak. Adapun kebanyakkan masyarakat sekarang ini menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan membaca al-Quran seperti membaca surah Yasin, berzikir dan berdoa dengan berhimpun di masjid-masjid atau rumah-rumah persendirian sama ada secara berjemaah atau perseorangan adalah tidak jauh berbeza dengan apa yang dilakukan oleh para tabiiin itu dan dilakukan juga oleh para ulama.

Wallahu'alam.

sumber: 
www.iluvislam.com
wikipedia

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...